Friday, February 26, 2010

RATU KEBANGGAAN MALAYSIA


Rosmah tekankan pentingnya peranan wanita pertama


KUALA LUMPUR - Ketika usaha diplomatik sedang giat dilakukan bagi membebaskan seorang pelajar Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Mesir pada Januari lepas, Datin Seri Rosmah Mansor, isteri perdana menteri, menerima panggilan telefon daripada bekas Wanita Pertama Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali.



Dr. Siti Hasmah meminta bantuan beliau untuk membebaskan Ibrahim Mohd Azmi, 22, pelajar University of Bristol di United Kingdom, yang telah ditahan di Mesir semasa sedang mengikuti konvoi Viva Palestina untuk menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin di Gaza.



Tanpa berlengah, Rosmah segera bertindak, membuat beberapa panggilan telefon kepada beberapa pihak berkuasa. Beliau turut menghubungi seorang rakannya yang berada beribu kilometer jauhnya.



Ia bukan rakan biasa tetapi Suzanne Mubarak, isteri Presiden Mesir. Rosmah berkenalan dengan beliau semasa menghadiri Sidang Kemuncak Wanita Pertama, Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) di Sharm El Sheikh di Mesir, Julai lepas. Mereka kemudiannya menjadi kawan rapat.



Panggilan telefon itu membuahkan hasil. Ibrahim dibebaskan.



Dalam temu bual dengan Bernama, Rosmah bercakap mengenai peranan penting yang boleh dimainkan oleh isteri pemimpin dunia. Katanya, tugas mereka bukan sekadar mengiringi pemimpin pada majlis-majlis rasmi malah melampaui semua itu.



"Kami boleh menjadi wanita pertama yang bekerja. Kami boleh memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan hubungan diplomatik. Kami boleh menjadi kawan. Jika sesuatu berlaku, kami boleh menggunakan saluran tidak rasmi, tanpa protokol.



"Saya sentiasa berusaha untuk mengenali wanita-wanita pertama setiap kali kami bertemu di persidangan antarabangsa yang dihadiri suami kami. Suami (pemimpin) kami boleh berinteraksi secara lebih rasmi dan serius tetapi kami, sebagai isteri mereka, boleh menganggap satu antara lain sebagai kawan," katanya.



Malahan, beliau berpendapat, jika wanita pertama di seluruh dunia saling bekerjasama, banyak masalah boleh diselesaikan, khususnya berkaitan dengan wanita dan kanak-kanak.



Kira-kira hampir setahun sekarang selepas suami beliau, Datuk Seri Najib Tun Razak, menjadi perdana menteri keenam Malaysia, Rosmah telah mempamerkan semangat jitu dan komitmen dalam menjalankan tugasnya sebagai isteri kepada lelaki paling berkuasa di negara ini.



Pada Disember tahun lepas, Rosmah mempamerkan kualiti istimewa apabila beliau mengiringi Najib melakukan lawatan ke kawasan bergolak di selatan Thailand di mana lebih 3,600 orang terbunuh di tiga wilayah majoriti penduduk Islam itu sejak kumpulan pemisah bersenjata melancarkan kempen menuntut kemerdekaan pada Januari 2005.



"Apabila saya diperlukan mengiringi suami saya dalam sesuatu lawatan seperti mana ke Selatan Thailand itu, saya tidak berasa curiga kerana saya tahu pihak berkenaan telah mengambil langkah keselamatan secukupnya. Saya tak rasa takut atau berada dalam keadaan merbahaya ketika di sana," katanya.



Malah, kata Rosmah beliau gembira kerana berpeluang menimba pengalaman di sana.



"Malah saya amat gembira melihat penduduk di sana menyambut kami, terutama Perdana Menteri Thailand (Abhisit Vejjajiva) dengan begitu mesra sekali. Saya lihat mereka mahukan keamanan dan pembangunan," katanya.



Sementara kerajaan Malaysia dan Thailand bersetuju melaksanakan pelbagai program untuk memulihkan keamanan di wilayah berkenaan, Persatuan Kebajikan dan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti), yang Rosmah adalah pengerusinya, berikrar akan menyediakan perkhidmatan sokongan.



Bagi Rosmah, tugas dan perjalanan ke luar negara yang kerap dilakukannya sejak beberapa bulan lepas telah membuka matanya mengenai kepentingan dan peranan yang boleh dimainkan oleh isteri pemimpin.



"Sepanjang lawatan itu, saya akan mengambil peluang melawat tempat-tempat dan program yang dilaksanakan oleh wanita pertama atau keluarga diraja negara tuan rumah.



"Saya akan belajar lebih banyak mengenainya dan jika dirasakan boleh memberi manfaat kepada negara, saya akan cuba laksanakannya di sini," kata Rosmah, yang mengilhamkan cadangan penganjuran "Sidang Kemuncak Wanita Pertama bagi Melahirkan Pemimpin Wanita Masa Depan" di sini pada Oktober.



Beliau sendiri amat kagum dan juga gembira dengan perkembangan di Asia Barat, khususnya peranan yang dimainkan oleh wanita di sana dan dengan tahap kebebasan yang mereka nikmati sekarang.



"Saya gembira dengan perubahan yang berlaku di sana kerana mereka (kini) lebih mementingkan pendidikan. Mereka tidak lagi terkongkong. Ramai yang memiliki kelulusan PhD dari universiti-universiti terkemuka di dunia dan memainkan peranan lebih besar dalam agensi-agensi kerajaan," kata Rosmah, yang mengiringi Najib pada lawatan rasmi ke Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) bulan lepas.



Katanya amat membanggakan kerana ramai daripada kalangan kerabat diraja dan keluarga berada di negara yang kaya dengan minyak itu kini mengikut kursus di pelbagai universiti di sebalik kekayaan dan kehidupan mewah yang mereka miliki.



Semasa lawatan ke Arab Saudi, masih dianggap sebagai negara Islam konservatif oleh banyak pihak, Rosmah berkata, beliau amat tersentuh dan berbesar hati kerana diberikan peluang keemasan untuk mengiringi Najib menghadap Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud dan menyaksikan penyampaian anugerah King Abdul Aziz Order of Merit (Kelas Pertama) kepada Perdana Menteri.



"Pada saya, ini peluang keemasan yang saya tidak pernah termimpi. Ini merupakan saat paling berharga buat saya dan sentiasa terpahat di hati," katanya.



Rosmah berkata, penganugerahan anugerah tertinggi kerajaan Arab Saudi itu kepada Najib bukan sahaja satu penghormatan kepada perdana menteri tetapi juga rakyat Malaysia dan satu pengiktirafan kepada pencapaian cemerlang dan sumbangan negara kepada dunia Islam.



Rosmah turut menghadiri majlis makan tengah hari bersama-sama tujuh puteri Saudi dan melawat Universiti Sains dan Teknologi Raja Abdullah (Kaust) dan Universiti Raja Faisal.



"Di Kaust, saya bertanya sama ada mereka mengambil pelajar wanita. Jawapan yang diberikan ialah tiada masalah dalam soal itu. Perkara seumpama itu tidak berlaku 10 tahun lepas. Di Universiti Raja Faisal, pihak berkuasa bercadang membenarkan pengambilan pelajar wanita pada semester akan datang," katanya.



Rosmah berkata, beliau turut bertukar-tukar idea dan pandangan dengan puteri-puteri berkenaan, yang mahir dalam beberapa isu termasuk Undang-undang Syariah dan juga aktif dalam organisasi kebajikan dan amal.



Mereka juga sedar akan perlunya negara mereka memastikan rakyatnya tidak ketinggalan berbanding negara-negara lain di dunia, katanya.



"Mereka mahu menjadi moden tetapi bukannya kebaratan. Mereka mahukan perubahan yang membawa manfaat kepada rakyat. Mereka juga kagum dengan pencapaian wanita di Malaysia," katanya.



Di UAE, Rosmah berkata, beliau mengadakan perbincangan yang amat bermakna dengan Sheikha Fatima Mubarak, ibu Putera Mahkota Abu Dhabi, yang banyak menyumbang dalam usaha memperkasakan wanita di negara.



Rosmah juga mengadakan pertemuan dengan Puteri Haya Al Hussein, isteri Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE.



Sheikha Fatima mengendalikan yayasan untuk kanak-kanak dan wanita dan memberikan perhatian terhadap kebajikan dan kesejahteraan mereka, katanya sambil memberikan contoh penubuhan gimnasium di semua daerah di Abu Dhabi yang menyediakan tempat bagi wanita untuk bersenam dan menyertai aktiviti rekreasi, secara percuma.



Perkembangan itu, kata Rosmah, patut membuka mata wanita di Malaysia yang telah sejak sekian lama menikmati pelbagai peluang dan kemudahan untuk meningkatkan kehidupan dan pencapaian diri mereka.



"Mereka patut bersyukur kerana peluang dalam pendidikan, perniagaan dan ekonomi telah wujud di Malaysia sejak bertahun-tahun lamanya. Kita berada pada tahap yang baik daripada segi wanita memegang jawatan tinggi dalam kerajaan dan sektor swasta," katanya.



Di sebalik kemajuan yang telah dicapai, Rosmah berkata, wanita di Malaysia tidak harus berpuas hati dengan apa yang telah mereka capai dan perlu terus memperbaiki diri dan kekal bersatu.



Bersandarkan harapan itu dan menyedari perlunya negara mengeluarkan pakar-pakar dalam pelbagai bidang, khususnya mencungkil bakat-bakat di kalangan golongan miskin, Rosmah telah melaksanakan inisiatif khas yang dikenali sebagai Program Permata Negara/Permata Pintar.



Rosmah, yang juga pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Dasar Permata Negara berkata, program itu akan memupuk kanak-kanak untuk menjadi pintar, matang daripada segi emosi dan mempunyai kemahiran komunikasi dan petah berhujah.



Katanya, program itu telah menunjukkan kejayaan dalam waktu singkat.



"Saya melawat beberapa sekolah untuk pelajar pintar di Thailand, China, Perancis, India dan Singapura. Kami menganalisis kaedah mereka dan merumuskan kaedah mengikut acuan kita sendiri," katanya.



Di India bulan lepas, Rosmah melawat Delhi Public School, sebuah institusi dengan 7,000 pelajar khusus untuk mengeluarkan pelajar cemerlang dalam pelbagai bidang.



Kejayaan program Permata Negara telah mendorong isteri-isteri para pemimpin asing, antaranya Sheikha Mozah Nasser Al-Missned, isteri Emir Qatar, dan isteri Presiden Zambia, Thaniwe Banda, ingin mengetahui lebih lanjut mengenai program itu.



Pusat-pusat Permata Negara yang mula beroperasi 1 Mac, 2007, menyediakan penjagaan dan pendidikan awal bagi kanak-kanak yang berusia bawah lima tahun, dengan keutamaan diberikan kepada mereka daripada keluarga dengan pendapatan isirumah kurang daripada RM1,500 sebulan. - BERNAMA

helangman : mengampu banyak2 lagi nanti dapat jadi anak angkat.

No comments :

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...