Kg Melayu di p. pinang diroboh -utusan
PULAU PINANG 30 Jun - ''Kami tidak mahu duit RM75,000 itu, yang kami inginkan hanya sebuah rumah sebagai ganti."
Demikian rintihan kira-kira 50 penduduk Kampung Jalan Pokok Asam, Jelutong di sini.
Mereka adalah antara 200 penduduk asal perkampungan itu yang diusir oleh pemaju hari ini.
Pengusiran itu didakwa dibuat oleh pemaju tanpa sebarang perbincangan terlebih dahulu antara kedua-dua pihak.
Difahamkan, tanah kampung berkenaan akan dibangunkan dengan projek kediaman bertingkat dengan kos lebih RM800,000 seunit oleh pemaju yang berpangkalan di Kuala Lumpur.
Menurut Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Jalan Pokok Asam, Mohd. Khir Mohd. Said, 44, tindakan pemaju tersebut mengundang kemarahan penduduk ekoran terdapat segelintir kakitangannya yang bersikap kurang ajar semasa mengeluarkan arahan pengosongan rumah.
''Kami bukan pendatang asing yang tinggal di kampung ini secara haram tetapi kami merupakan penduduk asal yang majoritinya menetap di sini lebih 90 tahun.
''Memang kami mengakui ada menerima notis arahan pengosongan awal pada 17 Jun lalu tetapi apa salahnya sekiranya mereka (pemaju) berbincang terlebih dahulu sebelum membuat sesuatu keputusan," katanya pada sidang akhbar di kampung berkenaan di sini hari ini.
Mohd. Khir memberitahu, operasi pengusiran penduduk itu pada awalnya dijangka dijalankan pada pukul 8 pagi di mana sebuah jentolak turut dibawa untuk kerja-kerja perobohan.
Bagaimanapun, katanya, sebaik sahaja perbincangan diadakan bersama beberapa penduduk, pihak pemaju yang diwakili oleh seorang peguam telah menangguhkan tempoh pengosongan selama tiga bulan iaitu berkuat kuasa pada tarikh 13 Oktober depan.
''Tetapi kami yang majoritinya bekerja sebagai nelayan belum memberi kata putus sama ada ingin mengosongkan kampung ini ataupun tidak kerana kes rayuan ini sedang berjalan di Mahkamah Sesyen.
''Lagipun, wang pampasan yang dijanjikan sebanyak RM75,000 itu tidak cukup untuk menampung perbelanjaan harian kami sepanjang hayat.
''Ketika ini yang kami inginkan hanya pampasan berbentuk rumah kepada setiap ahli keluarga memandangkan setiap lot rumah ini didiami lebih tiga keluarga," jelasnya.
Menurut Mohd. Khir, sebutan kes tersebut akan didengar pada 13 Julai ini di Mahkamah Sesyen di sini.
Sementara itu, seorang peguam bagi pihak pemaju yang enggan dikenali berkata, mereka bersetuju memberi tempoh selama tiga bulan untuk pengosongan rumah dan menawarkan RM75,000 kepada setiap penghuni terbabit.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai pampasan bentuk rumah yang diminta penduduk.
HELANGMAN : orang melayu di kempas dan di perkampungan2 melayu di johor bagaimana pula. adakah akan dianggap sebagai pendatang haram ataupun dianggap sebagai masyarakat asal di situ. sudahkah diberi geran tanah kepada orang melayu yg tinggal di situ, suratkhabar dah melaporkan ke belum. bagaimana nasib melayu di kg denai di kempas yg dirobohkan, kenapa tak keluar kat tv atau di suratkhabar.
No comments :
Post a Comment