Saturday, May 29, 2010

PUJAAN NO.1 DI MALAYSIA



Hasilkan lebih banyak buku warisan dan Islam - Rosmah


ROSMAH Mansor menunjukkan buku Straits Muslims: Diasporas of the Northern Passage of the Straits of Malacca pada majlis pelancaran di Muzium Kesenian Islam, Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir Wazir Jahan Karim (tiga, kanan) serta piut Hafiz Ghulam Sarwar (dari kiri) Ariadna Shaik Rizal; Taariq Ahmad Jalani Markhzan Jalani; Amir Khaled Farid dan Amira Hannah Farid. - BERNAMA

KUALA LUMPUR 29 Mei - Para cendekiawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diseru menghasilkan lebih banyak buku berkaitan Islam, sejarah dan budaya demi memartabat dan mengharumkan warisan bangsa dan agama pada masa depan.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, penghasilan buku seumpama itu bukan sahaja dapat mendidik tetapi juga mampu mencipta kesedaran tentang sejarah dan warisan budaya Islam untuk kepentingan generasi akan datang sekali gus menjadikan mereka sebagai bangsa bertanggungjawab.

Justeru beliau mengharapkan agar institut yang berkaitan dapat menjadikan buku-buku berkenaan sebagai koleksi di institusi pengajian tinggi, sekolah dan perpustakaan awam.

"Sebagai buku yang memberi sumbangan berharga untuk warisan budaya dan Islam, adalah penting supaya generasi muda kita dapat mempunyai akses yang lebih baik untuk meningkatkan pengetahuan dan maklumat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan himpunan buku-buku warisan budaya dan Islam di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah pemegang amanah karya Hafiz Ghulam Sarwar, Tan Sri Khalid Ahmad; Duta Filipina, Victoriano Lecarus; Pengarah Eksekutif Intersocietal and Scientific (INAS), Prof. Datuk Wazir Jahan Karim serta piut Hafiz Ghulam Sarwar Ariadna Shaik Rizal, 10; Taariq Ahmad Jalani Markhzan Jalani, 9; Amir Khaled Farid, 11, dan Amira Hannah Farid, 5.

Rosmah berkata, industri buku tempatan juga seharusnya berusaha lebih gigih untuk menulis dan menerbitkan penemuan mengenai warisan dan asal usul budaya serta buku tentang kesusasteraan Islam kerana ia akan mengangkat status industri buku tempatan dan global.

Sehubungan itu kata beliau, usaha menghasilkan penerbitan buku-buku seperti yang dilancarkan tersebut harus dipuji terutama untuk industri buku tempatan menerbitkan lebih banyak buku yang boleh menyoroti warisan, budaya dan kedaulatan negara.

Pada majlis tersebut, Rosmah melancarkan tiga buah buku masing-masing bertajuk Straits Muslims: Diasporas Of The Northen Passage of the Straits of Malacca yang dihasilkan Prof. Datuk Dr. Wazir Jahan Khan dan Life of Prophet Muhammad serta Philosophy of The Quran karya Hafiz Ghulam Sarwar.

Menurutnya, ketiga-tiga buku warisan Islam itu penting kerana bukan sahaja mampu meningkatkan lagi pemahaman tentang warisan dan budaya kita tetapi juga membantu meningkatkan pemahaman mengenai Islam.

''Biarpun buku-buku seumpama itu pernah ditulis dan diterbitkan oleh pelbagai penulis di seluruh dunia namun kata beliau, adalah membanggakan apabila ia ditulis, dikupas dan dianalisis oleh penulis tempatan kita sendiri.

"Dalam hal ini, saya amat berbangga bahawa Malaysia dapat menyumbangkan teks-teks warisan Islam di peringkat antarabangsa bagi menarik perhatian pembaca kepada perkembangan masyarakat Islam di rantau ini di samping menghayati nilai-nilai universal Islam," katanya.

No comments :

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...